Suami paksa isteri jadi pelacur dengan bayaran RM50

loading...
Gambar hiasan | Google Images
SUNGAI PETANI, KEDAH - Seorang penganggur tergamak melacurkan isterinya pada lelaki warga asing dengan hanya mengenakan bayaran serendah RM50, lapor Bernama. 

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata, perbuatan keji lelaki berusia 34 tahun itu dibongkar anggota Rukun Tetangga kawasan tersebut ketika melakukan serbuan di sebuah rumah di Bandar Amanjaya, selepas mendapati lelaki itu berada dalam keadaan mencurigakan. 

"Mangsa berusia 23 tahun dikatakan dibawa secara paksa oleh suaminya dari rumahnya ke sebuah rumah di Bandar Amanjaya sebelum dipaksa melayan seorang lelaki warga Bangladesh dengan bayaran RM50. 

"Suaminya hanya menunggu di dalam kereta bersama seorang anak kecil mereka. Mangsa juga mendakwa terpaksa menurut arahan suaminya selepas diugut akan dipukul. 

"Mangsa kemudian menceritakan perkara yang berlaku kepada anggota Rukun Tetangga dan suaminya ditahan oleh pejabat agama, manakala lelaki warga asing itu melarikan diri," katanya, memetik laporan dari Bernama. 

Siasatan awal mendapati, mangsa dan suaminya telah berkahwin sejak tiga tahun lalu dan mempunyai dua orang anak. Mangsa dipaksa melacur sejak awal Disember tahun lalu selepas suaminya berhenti kerja. 

Lelaki itu kini ditahan reman selama 4 hari hingga 10 Januari, selepas isterinya membuat laporan polis. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 372 (A)(1) Kanun Keseksaan.
loading...

0 Response to "Suami paksa isteri jadi pelacur dengan bayaran RM50"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close