loading...
TAMPIN, NEGERI SEMBILAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui dalam keadaan bogel di sebuah rumah yang kotor, lapor Sinar Harian.
Kanak-kanak itu ditemui oleh polis pada jam 1 pagi tadi, dipercayai ditinggalkan seorang diri oleh ibunya semenjak jam 6 petang semalam, di Kampung Parit Buloh.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, polis menerima aduan dari penduduk yang terdengar tangisan kanak-kanak berkenaan dalam rumah dalam keadaan gelap dan berkunci.
Polis segera ke lokasi tersebut dan mendapati seorang kanak-kanak lelaki ditinggalkan bersendirian sebelum dihantar ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan dan diberi makanan serta minuman oleh anggota Balai Air Kuning Selatan.
Siasatan awal mendapati, si ibu yang berusia 29 tahun telah meninggalkan anaknya semenjak jam 6 petang.
"Ibu mangsa menyembunyikan kelahiran anak bongsunya itu daripada orang ramai termasuklah keluarganya sendiri. Bahkan, suami keduanya juga tidak mengetahui itu adalah anak isterinya kerana si isteri menyatakan dia hanya sekadar menjaga anak kawannya.
"Pada hari kejadian, wanita itu telah meninggalkan anak bongsunya itu seorang diri dan hanya membawa pulang dua anak lelaki hasil perkahwinan pertama ke kampung yang terletak di Jelai kerana ahli keluarga tidak mengetahui kewujudan anak bongsunya itu," katanya.
Difahamkan wanita berkenaan pulang ke kampung untuk menjaga ibunya yang sakit selain menguruskan ibu tirinya yang baru sahaja terbabit dalam kemalangan.
"Tiada kecederaan luaran pada kanak-kanak berkenaan tetapi kita memandang berat kes ini dan menyeru masyarakat peka dan semampu mungkin agar dapat mengelakkan kejadian seperti ini berulang kembali.
"Sikap suspek dipuji atas komitmen menjaga ibu-ibunya yang sakit, namun undang-undang harus dipatuhi," tegasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 22 Akta Kanak-Kanak. - The Reporter
loading...
0 Response to "Ibu sembunyikan kelahiran anak bongsu, tinggalkan di rumah gelap & kotor 7 jam"
Post a Comment