loading...
Rezeki, mungkin tidak cepat tetapi waktu yang tepat.
"Kita merancang tetapi Allah sebaik-sebaik pemberi.." itulah kata-kata dari Ernayanee Nur Julaimi yang disahkan hamil kembar tiga selepas lima tahun menanti cahaya mata.
Islam, Iman dan Ishan nama yang diberi sempena mengingati seorang guru yang sangat penyayang, sangat rendah hati mengajarnya tentang tauhid, ESQ.
Menurut Ernayanee, sudah lama dia ingin berkongsi berita gembira itu secara umum dan kini anak kembar tiganya sudah berusia 4 bulan.
"Ada yang dah tahu dan ada yang belum atau samar-samar. Kini mereka sudah berusia 4 bulan. Gambar ini antara gambar yang terawal yang masih dapat kita lihat lagi tiga kantung berisi rezeki Allah pada kami," katanya.
Cerita Ernayanee, sudah lima tahun dia dan suami menunggu dengan penuh kesabaran. Sebelum dan selepas kahwin, ujian demi ujian mereka lalui.
"Kata-kata sinis sana sini saya dengarkan. Pada perniagaan, rumah tangga dan masalah zuriat, tetapi kesabaran saya Allah berikan pada waktu yang tepat dan dia sebaik-baik pemberi. Walaupun lambat doa saya dimakbulkan, tetapi diberikan pada waktu yang tepat dengan bilangan tiga sekali. Subhanallah.
"Usaha tidak pernah terhenti, tiga orang doktor yang ditemui, kebanyakannya menyuruh saya kuruskan badan. Maklumlah sejak kahwin, badan mula berisi.
"Berurut usah cakap, pantang orang kata sana sini bagus, terus buat temujanji nak jumpa. Berubat sana sini dengan ustaz-ustaz, bermacam-macam air dan ubat saya telan. IUI pun pernah buat, sampai nak tebuk. Seram dengar. Usaha tidak berhenti sehinggalah 2016, saya jejakkan kaki ke tanah suci.
"Allhamdulillah rezeki saya mendapatkan mika malaika, seorang anak yang sangat luar biasa baik, bijak, pandai mengambil hati, seorang anak yang bagi saya, Allah bagi untuk mengubat luka saya. Sebab memang saya yang bermasalah, bukan suami saya. Siap cakap dengan suami, sebelum Mika lahir.
Kalau tak ada rezeki, awak kahwinlah dengan orang lain.
"Sedih nak luahkan tetapi dia juga manusia biasa, kesabaran dan ketabahannya bersama, saya puji. Dia tidak mengambil kesempatan sedikitpun pada kata-kata yang terlafaz. Terima kasih suamiku, Reduan Syah Putra.
"Allah berikan anak yang sangat istimewa di muka bumi. Saya menyambut kelahiran Mika sendiri di bilik bersalin. Saya melihat bagaimana anak ini keluar dengan darah dan tangan ibunya saya pegang kuat, saya tekad menjaga Mika sebaiknya.
"Saya tatang Mika bagai minyak yang penuh. Dia anak saya. Kelahirannya pada bulan Februari dan Dexandra lahir pada bulan Mac. Rezeki Allah beri tak pernah putus selepas itu. Ya Allah.
"Setiap kali adik-adik saya kata mereka mengandung, saya tak terlepas dari bersedih, tak lama. Tetapi air mata tetap keluar. Seorang diri seharian. Pelbagai alasan saya berikan tetapi mereka tahu saya bersedih. Saya juga ada perasaan itu, bagaimana saya mahu menghilangkan kesedihan itu? Seperti biasa, saya sibukkan diri dengan menguruskan perniagaan dan selalu bercakap pada diri, 'Erna perlu tabah, cekal. Allah ada'.
"Kini segala hikmah terbentang, bila Allah nak bagi, dia akan berikan. Kun fa ya kun, akhirnya khabar ini saya terima selepas perjumpaan setiap minggu dengan Doktor Thokha dari Johor. Setiap minggu ulang alik, JB - KL dan usaha serta doa akhirnya Allah makbulkan. Saya tahu, bukan sahaja doa saya malah disebabkan doa ibu ayah, adik beradik, sahabat handai dan anak-anak tahfiz dan yatim yang banyak mendoakan sehingga terlorongnya rezeki ini. Allah.. tak terucap kata-kata terima kasih kepada mereka semua.
"Saya tak dapat bayangkan wajah saya dan suami ketika melihat dua line merah di atas test tube pregnancy. Air mata tak terkeluar. Depan doktor itu saya ucapkan terima kasih dan sujud syukur selepas itu. Kemudian keluar dan,
Awak, saya mengandung!
Tiga minggu kemudian, bila doktor scan, ya Allah, tiga kantung. Allah.
Awak, tiga baby?
"Tak terucap walaupun dalam hati tertanya-tanya macam mana nak menjaga ketiga-tiga cahaya mata itu kelak. Gembira dalam kebingungan.
"Saya bersyukur, saya lihat hikmah kenapa Allah tak berikan dengan cepat tetapi waktu yang tepat. Kerana ketika ini perniagaan saya mula berkembang dan sudah diberikan sebaiknya tugas menjaga perniagaan kepada suami dan adik beradik lain supaya ketika ini saya dapat fokus menjaga Mika Malaika dan tiga adiknya sekali dalam satu masa.
"Bayangkan dengan ujian dan kesusahan saya dulu, masa awal-awal perkahwinan, mungkin ketika itu saya betul-betul tidak bersedia dengan pelbagai tekanan.
"Allah, Engkau baik padaku, apa lagi nikmat yang ingin ku dustakan. Semuanya amanah buatku untukku jaga sebaiknya," katanya.
Difahamkan, anak kembar tiganya akan dilahirkan pada pada Mei 2017.
Justeru, Ernayanee menasihatkan mana-mana pasangan yang masih belum dikurniakan anak, jangan sesekali berputus asa dan redha dengan setiap apa yang berlaku serta terus mencari kebaikan dan hikmah di sebaliknya agar hati sentiasa redha. - The Reporter
loading...
0 Response to "Hikmah bersabar & ambil anak angkat, wanita ini disahkan hamil kembar tiga"
Post a Comment